KAMA berahi bersandarkan hawa nafsu, dan dipengaruhi godaan syaitan,
pasti membuatkan manusia tersungkur di jurang yang tidak berpenghujung. Itulah
dialami Sohor, dan Hamidah, perlip buta yang terlalu agung di kala muda, mewujudkan
dosa besar tanpa mereka berdua menyedarinya.
“Aku mencintaimu seluruh jiwaku.
Jika boleh, seluruh alam ini kupersembahkan untuk dijadikan mahligai hidupmu.”
SOHOR
“Aku juga begitu, terlalu ikhlas
cintaku ini terhadapmu, dan aku membalasnya tanpa rasa was-was. Datanglah
kepadaku, dan rangkullah tubuhku semahu-mahunya demi cinta terpateri...”
HAMIDAH
Hasil hubungan terlarang itu, maka lahirlah insan bernama Nur Aini.
Segala kebiadaban yang telah dilakukan, menjadi rahsia, dan tidak akan
dipecahkan Sohor, dan Hamidah sehingga bila-bila.
Kini setelah 19 tahun berlalu, sesuai namanya, Sohor menjadi tersohor,
dan bergelar datuk. Malah, dia disanjung kerana kesuksesannya sebagai ahli
perniagaan yang berjaya, dan sebagai tokoh politik yang berpengaruh dalam
kalangan masyarakat. Namun, semua yang diperoleh Datuk Sohor mula tidak membawa
sebarang makna gara-gara Nur Aini ingin mendirikan rumah tangga dengan anak
seorang menteri.
Datuk Sohor tahu, dia haram berwalikan anaknya disebabkan status anaknya
itu. Namun, untuk menjaga reputasi kerana takut malu, takut terhina, takut
kehilangan pengaruh, dan takut hilang jawatan dalam karier politiknya, Datuk
Sohor ingin bertindak mempersendakan hukum Tuhan yang sudah sedia termaktub.
Akan tetapi, langkah yang akan
dilakukan Datuk Sohor itu pasti mengundang perbuatan zina oleh anaknya
sepanjang hidup, dan segala dosa si anak, akan ditanggung olehnya. Datuk Sohor
berserabut memikirkan hal itu. Dia harus memilih satu antara dua. Menanggung
dosa sepanjang hayat atau malu kepada masyarakat. Salah satu yang dipilih,
pasti memberi implikasi besar kepada dirinya...