Rabu, 14 September 2016

SINOPSIS- SINAR DI HUJUNG SENJA - SMAHADZIR




KAMA berahi bersandarkan hawa nafsu, dan dipengaruhi godaan syaitan, pasti membuatkan manusia tersungkur di jurang yang tidak berpenghujung. Itulah dialami Sohor, dan Hamidah, perlip buta yang terlalu agung di kala muda, mewujudkan dosa besar tanpa mereka berdua menyedarinya.

Aku mencintaimu seluruh jiwaku. Jika boleh, seluruh alam ini kupersembahkan untuk dijadikan mahligai hidupmu.” SOHOR

Aku juga begitu, terlalu ikhlas cintaku ini terhadapmu, dan aku membalasnya tanpa rasa was-was. Datanglah kepadaku, dan rangkullah tubuhku semahu-mahunya demi cinta terpateri...” HAMIDAH

Hasil hubungan terlarang itu, maka lahirlah insan bernama Nur Aini. Segala kebiadaban yang telah dilakukan, menjadi rahsia, dan tidak akan dipecahkan Sohor, dan Hamidah sehingga bila-bila.

Kini setelah 19 tahun berlalu, sesuai namanya, Sohor menjadi tersohor, dan bergelar datuk. Malah, dia disanjung kerana kesuksesannya sebagai ahli perniagaan yang berjaya, dan sebagai tokoh politik yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Namun, semua yang diperoleh Datuk Sohor mula tidak membawa sebarang makna gara-gara Nur Aini ingin mendirikan rumah tangga dengan anak seorang menteri.

Datuk Sohor tahu, dia haram berwalikan anaknya disebabkan status anaknya itu. Namun, untuk menjaga reputasi kerana takut malu, takut terhina, takut kehilangan pengaruh, dan takut hilang jawatan dalam karier politiknya, Datuk Sohor ingin bertindak mempersendakan hukum Tuhan yang sudah sedia termaktub.

Akan tetapi, langkah yang akan dilakukan Datuk Sohor itu pasti mengundang perbuatan zina oleh anaknya sepanjang hidup, dan segala dosa si anak, akan ditanggung olehnya. Datuk Sohor berserabut memikirkan hal itu. Dia harus memilih satu antara dua. Menanggung dosa sepanjang hayat atau malu kepada masyarakat. Salah satu yang dipilih, pasti memberi implikasi besar kepada dirinya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.